Atta Rumnan Perkenal Single Terbaharu 'Baik Chow Dulu' – Luahan Hati Buat Cinta Lama yang Mensia-siakan Kekasih Setia.

 


Update Pusaka News - Penyanyi dan komposer muda, Atta Rumnan, tampil dengan single solo pertamanya berjudul "Baik Chow Dulu", sebuah lagu yang menyampaikan mesej tegas tentang harga diri dan kekuatan diri selepas dikhianati oleh cinta.

Selain menyanyi, Atta Rumnan juga berminat untuk melebarkan sayapnya ke bidang-bidang lain seperti permodelan dan lakonan. Pemuda berusia 18 tahun ini baru sahaja diterima masuk ke ASWARA untuk menyambung pelajaran dalam bidang Muzik dengan pengkhususan dalam Vokal.

“Baik Chow Dulu” yang ditulis sepenuhnya oleh Encik Mimpi mengisahkan pertemuan semula dengan bekas kekasih yang pernah mengecewakan, namun kini ingin kembali. Dengan keyakinan diri dan perubahan ke arah yang lebih baik, si penyanyi memilih untuk ‘Chow Dulu’ – meninggalkan kisah silam dan terus melangkah ke hadapan.

Dengan gabungan melodi yang kuat berunsurkan era 90-an, susunan muzik moden, serta lirik yang sinis namun jujur, 'Baik Chow Dulu' dijangka bakal menjadi siulan generasi muda yang pernah melalui kisah cinta toksik. Lirik lagu ini sangat relevan dan boleh ditujukan kepada bekas kekasih, atau sesiapa sahaja yang pernah mengalami pengalaman serupa. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Lagu ini ditujukan kepada mereka yang pernah terluka, tetapi bangkit semula – dengan lebih kuat, lebih yakin, dan lebih mengenali nilai diri sendiri," kata Atta Rumnan.

Menurutnya, beliau berharap agar masyarakat dapat menerima kehadirannya dalam industri hiburan tanah air serta memberikan sokongan penuh terhadap kerjayanya.